POTONGAN HARGA RM40 UNTUK SETIAP SAMPING!

Program 1 Dinar Emas, 1 Bulan

6 novembre 2012

Tidak Salah Jadi ‘Cina pisang’

Ridhuan Tee Abdullah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengatakan, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau juga menegaskan, ketika menjadi Menteri Pelajaran, Akta Pendidikan 1996 diwujudkan menggantikan Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran 1961 amat ditakuti kerana memberi kuasa penuh kepada Menteri Pelajaran untuk menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan.

Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina (SPC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal.

Sekadar makluman, selepas 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukan pendidikan Cina. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC, manakala 60 lagi kekal sebagai SPC.

Ini tidak termasuk sejumlah hampir 1,300 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun melalui bantuan kerajaan sepenuhnya.

Akta 1996 yang lunak ini membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Namun, sedarkah kita bahawa akta ini juga ditentang oleh NGO Cina seperti Dong Jiao Zong, kerana mereka tidak mahu langsung sekolah Cina diganggu-gugat. Mereka mahu beroperasi dengan penuh kecinaan.

Najib turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut. Syarat yang dikenakan adalah pelajar-pelajar ini wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara. Selain itu, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC dan menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC. Itu pun masih ditentang kerana mereka mahu UEC diiktiraf sepenuhnya tanpa mengambil SPM.

Sebagai timbal balas, Perdana Menteri menaruh harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu. Persoalannya, bolehkah harapan Najib ini dipenuhi oleh komuniti Cina, terutama kumpulan ultra kiasu, setelah kerajaan memberi begitu banyak kemudahan dan begitu bertoleransi.

Tiada negara di dunia ini yang begitu bermurah hati dan bertoleransi seperti apa yang negara kita lakukan. Persoalannya, kenapa tidak dihargai? Apa jua cadangan kerajaan untuk penambahbaikan sekolah Cina adalah ditentang habis-habisan. Toleransi yang tidak ada tolok bandingnya ini masih lagi diterima.

Apa yang dimahukan oleh orang Cina? Apakah mereka mahu tinggal di pulau sendiri seperti Singapura dan sasaran mereka hari ini adalah Pulau Pinang.

Source