POTONGAN HARGA RM40 UNTUK SETIAP SAMPING!

Program 1 Dinar Emas, 1 Bulan

23 janvier 2013

Aset Khazanah Melonjak

Berita Harian


Nilai portfolio pelaburan meningkat ke paras tertinggi baru

Khazanah Nasional Bhd mencatatkan prestasi kewangan cemerlang tahun lalu dengan nilai portfolio pelaburannya terus melonjak ke paras tertinggi baru.

Setakat 31 Disember lalu, Nilai Aset Direalisasikan (RAV) syarikat pelaburan kerajaan itu melonjak kepada RM121.6 bilion.
Ia adalah RM13.4 bilion atau 12.4 peratus lebih tinggi berbanding RM108.2 bilion pada 2011 dan pertumbuhan 138.9 peratus daripada hanya RM50.9 bilion ketika penubuhannya pada Mei 2004.


Nilai Aset Diselaraskannya (NWA) pula menokok RM16.9 bilion atau 24.3 peratus kepada RM86.9 bilion daripada RM70 bilion pada 2011.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata prestasi cemerlang yang dicatatkan pada tahun lalu itu mencerminkan kejayaan strategi pelaburan yang dibuat kumpulan berkenaan.

“Kami percaya portfolio (pelaburan) yang dibuat sepanjang tahun lalu amat seimbang, sementara pecahan kedudukannya juga baik.

“Ini membolehkan Khazanah meraih manfaat daripada peningkatan pertumbuhan di rantau Asia Pasifik serta beberapa sektor dinamik lain yang kami jangkakan mampu terus meningkat lagi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Sepanjang tahun lalu, Khazanah membuat pelaburan besar dalam beberapa syarikat terkemuka dunia, khususnya membabitkan pengambilalihan sebuah kumpulan kesihatan di Turki, iaitu Acibadem Healthcare Group sebagai sebahagian daripada langkahnya untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan selain meningkatkan lagi kecairan dalam pasaran ekuiti tempatan.

Atasi penanda aras

Azman berkata, pertumbuhan NWA yang dicatatkan Khazanah tahun lalu itu mengatasi prestasi penanda aras utama Bursa Malaysia, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) serta beberapa indeks serantau lain seperti Indeks Hang Seng, MSCI Asia kecuali Jepun dan pasaran MSCI Emerging.

“Penyumbang utama kepada prestasi kukuh portfolio pelaburan kami bagi tahun lalu itu, antara lain didorong oleh pelaksanaan tawaran awam permulaan IHH Healthcare Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

“Selain itu, pegangan Khazanah dalam sektor telekomunikasi dan tenaga yang semakin bertambah turut menjadi penyumbang kepada pertumbuhan dalam NWA itu,” katanya.

Tahun lalu, Khazanah meraih keuntungan sebelum cukai RM2.1 bilion berbanding RM5.3 bilion pada 2011, sekali gus membolehkannya mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM1 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang diisytiharkannya sejak 2010 berjumlah RM4.5 bilion.

Sepanjang tahun lalu, Azman berkata, Khazanah telah membuat tujuh pelaburan utama baru berjumlah RM6.2 bilion dan 10 pelupusan yang menjana hasil berjumlah RM4.8 bilion dan keuntungan RM2.1 bilion.

Source