http://nga.gov.au/Exhibition/PICTUREPARADISE/IMAGES/MED/175968.jpg
Fadzli Ramli

(Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana catatan perjalanan penulis mengikuti Ekspedisi Jejak Jawi III, ekspedisi bagi mengkaji sejarah dan warisan Melayu di Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia)
  
RIAU (Indonesia) - Tanggal 17 Mac 1824, Inggeris dan Belanda menandatangani Perjanjian London yang memecahkan empayar Johor-Riau-Lingga hingga mengubah alam Melayu buat selamanya.

Perjanjian itu meletakkan Semenanjung Malaysia dan Singapura di bawah empayar Inggeris manakala Kepulauan Riau-Lingga di bawah Belanda, sekaligus memecahkan bangsa Melayu yang tinggal 'sebumbung' dalam empayar kesultanan itu. Mengikuti Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III) di Kepulauan Riau-Lingga di sini baru-baru ini, penulis merasakan bagai pulang ke kampung halaman. Ini adalah kali pertama penulis menjejakkan kaki di kepulauan ini. 

Melayu
Majoriti kawasan di kepulauan ini didiami orang Melayu, justeru daripada suasana, cara hidup, bahasa, makanan dan kehidupan di kawasan ini mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia.

Malah masakan seperti asam pedas dan sambal tumis, masakan yang popular di Malaysia juga amat popular terutama di kalangan orang Melayu di sini. Bandar Tanjungpinang, destinasi pertama penulis, dilihat bagaikan metropolis Kuala Lumpur pada awal tahun 80an dengan deretan kedai, kesibukan kenderaan dan pergerakan orang ramai.

Bagi anggota ekspedisi, Saiful Anwar Yahaya atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pol, melihatkan suasana di sepanjang sebatang jalan yang dipenuhi dengan kedai makan di Tanjungpinang mengingatkan beliau akan Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. "Makanan, minuman dan orangnya semuanya serupa. Malah teringat kisah lalu makan masakan asli kampung di Kampung Baru," katanya kepada Bernama ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di sini.

Namun, kemajuan di Tanjungpinang amat ketinggalan berbanding metropolis Kuala Lumpur juga bandar raya lain di Malaysia.