1. Saya telah cuba menjelaskan berkali-kali bahawa penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik bukan untuk mempelajari Bahasa Inggeris atau memperbaiki penguasaan bahasa itu. Tujuannya ialah untuk menguasai ilmu sains dan matematik.
2. Sains dan matematik (hisab) bukan seperti mata pelajaran lain. Fakta sejarah, geografi, sastera tidak berubah dengan pengaliran masa. Fakta dalam sejarah, geografi dan sastera kekal dan tidak bertukar.
3. Sains sebagai ilmu berkembang melalui penyelidikan dan kajian sepanjang masa. Sains yang saya belajar di sekolah dan di universiti tidak sama dengan sains masa kini. Dahulu tidak ada sains elektronik, komputer sains, sains angkasa lepas, “nano” sains, sains pembedahan dada, sains perubatan stem cell dan berbagai-bagai lagi. Semua ini di kenali dan diperkenal dari masa ke semasa melalui penyelidikan oleh pakar-pakar sains.
4. Mereka merekod dan menulis hasil kajian dan kaji selidik, perkataan dan ciptaan mereka sepanjang masa. Hampir tiap hari dikeluarkan kertas baru yang ditulis oleh penyelidik yang memperkenalkan teori dan discovery baru yang perlu diteliti dan difahami oleh ahli-ahli sains untuk mengemaskini ilmu mereka. Tanpa mengetahui ilmu yang terkini maka pengetahuan dan penggunaan ilmu baru ini tidak boleh dimanfaatkan baik semasa mengajar atau untuk diguna dalam ciptaan dan rekaan produk yang baru.
5. Contohnya telefon. Dahulu dawai menyambung alat telefon dengan operator yang akan menyambung panggilan. Kemudian operator diganti dengan memutar dail yang menyambung panggilan secara otomatik, kemudian disambung melalui radio, kemudian diguna disk dan satelit yang mampu menyambung telefon bimbit terus kepada telefon bimbit di mana sahaja.
6. Kita hanya menjadi pengguna kerana tidak tahu teknologi untuk mencipta dan mengeluar telefon bimbit. Yang tahu hanyalah yang belajar dalam bahasa Inggeris. Sampai bilakah kita hanya akan menjadi pengguna semata-mata. Bolehkah kita jadi bangsa maju bertamadun tinggi selagi kita menjadi bangsa pengguna?
7. Kita akan berkata orang Jepun, Korea, Jerman tidak guna Bahasa Inggeris. Ini tidak benar. Mereka perlu ada ramai yang memahami Bahasa Inggeris untuk membaca kertas-kertas dari penyelidik walaupun untuk memahami perkataan-perkataan baru untuk bahagian-bahagian tertentu supaya dapat memahami fungsi dan mengguna perkataan itu sebelum ditulis dalam bahasa mereka.
8. Mustahil mereka boleh memahami makna sesuatu perkataan atau sesuatu proses atau fungsi jika mereka tidak faham secara menyeluruh ayat bahkan rencana berkenaan. Kita faham perkataan “nano” umpamanya kerana kita faham diskripsi dalam Bahasa Inggeris yang menyebut perkataan “nano”. Jika kita jumpa perkataan ini tanpa konteksnya kita tak mungkin faham apa dianya “nano” dan tak mungkin kita gunanya dalam bahasa kita. Demikian jugalah dengan perkataan-perkataan yang dipinjam dari bahasa-bahasa lain termasuk Bahasa Arab.
9. Orang Arab dahulu mempelajari Bahasa Yunani (Greek) untuk menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek. Ilmu orang Greek tidak banyak dan akhirnya ilmu mereka diterjemah sepenuhnya kepada Bahasa Arab. Untuk mengalih bahasa mereka perlu faham bahasa Greek.
10. Lepas itu orang Arab menambah kepada ilmu ini melalui kajian mereka dalam bahasa mereka. Dalam jangkamasa seribu tahun, orang Arab berupaya dan dapat membuat kajian dan menambah kepada sains yang diperolehi dari orang Greek dan membukukannya.
11. Kemudian orang Eropah semasa Zaman Gelap (Dark Ages) mempelajari dan menguasai Bahasa Arab untuk mendapat ilmu yang dikumpul, diterokai dan dibukukan oleh Orang Arab. Dengan menguasai ilmu sains Arab maka sains dikembangkan pada mulanya dalam Bahasa Latin, dan kemudian bahasa-bahasa Eropah. Proses ini mengambil masa, walaupun jumlah ilmu yang diperolehi dari orang Arab tidaklah begitu banyak seperti sekarang.
12. Kita berada diperingkat mencari ilmu bangsa lain yang dibukukan dengan begitu banyaknya dalam bahasa mereka. Proses penyelidikan dan catitan atau pembukuan ilmu baru ini berlangsung sepanjang masa. Hampir tiap-tiap ilmu baru diperkenalkan dan kadang-kadang ilmu lama diganti dengan ilmu baru kerana yang lama tidak dapat dipertahankan lojiknya.
13. Hampir semu ilmu baru ini diperkenalkan dalam Bahasa Inggeris. Ia terlalu banyak untuk diterjemah kedalam Bahasa Melayu. Tidak mungkin kita adakan penterjemah yang mencukupi yang fasih dalam Bahasa Melayu, fasih dalam Bahasa Sains Inggeris dan pakar dalam bidang sains berkenaan. Jika ada seorang dua, tak mungkin mereka sanggup menghabiskan hayat mereka menterjemah sains yang datang dlam bahasa Inggeris.
14. Sebenarnya universiti-universiti di kebanyakkan negara mengguna buku teks Inggeris untuk pembelajaran perubatan. Sebabnya ialah oleh kerana sukar mendapat buku teks sains diperingkat tinggi dalam bahasa mereka sendiri.
15. Untuk melancar sebuah kapal angkasa dari daratan supaya bertemu dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) memerlukan perkiraan dan perhitungan yang amat kompleks. Ini disebabkan dunia yang menjadi tempat melancar sedang berpusing mengikut axis (paksi) utara selatan dalam 24 jam. Tempat pelancaran ada kalanya siang dan ada kalanya malam. Dimasa yang sama axis itu juga bergerak mengikut musim. Juga dunia sedang bergerak mengeliling matahari.
16. Stesen angkasa juga bergerak dengan pantas supaya lokasinya tetap relatif dunia. Demikian juga kapal angkasa perlu dilancar naik mengikut satu trajectory yang serong dengan kelajuan tertentu supaya dapat bertemu dengan stesen angkasa pada jam, hari dan saat tertentu. Jika tidak bertemu kerana perkiraan tersilap, kapal dan anak kapal akan hilang di angkasa.
17. Semua perkiraan ini memerlukan kecekapan dalam bidang algorithm. Siapakah diantara kita yang menguasai ilmu ini tanpa menguasai bahasa Inggeris yang mampu membuat perkiraan ini? 18. Pelajaran bukan hanya bertujuan menjadi fasih dalam bahasa pengantar – baik Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Pelajaran adalah untuk memperoleh dan menguasai ilmu. Hanya bangsa yang berilmu sahaja yang akan mendiri tamaddun yang tinggi.
Bahasa Jiwa Bangsa
Ilmu Menegak Bangsa
Artikel ditulis oleh Tun Mahathir Mohamad, dipetik dari laman www.chedet.cc